Saturday, March 18, 2006


SEBENARNYA YANG MANA SATU PALING KITA SELALU BUAT...SABAR ATAUPUN MENGELUH. TIDAKKAH KITA SEDAR ADA BESARNYA PERBEZAAN ANTARA KEDUA-DUANYA..BERSAMA-SAMALAH KITA MENGHAYATI KISAH INI...

Pada zaman dahulu, ada seorang yang bernama Abu Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Di waktu tawaf tiba-tiba dia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

“Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati.”

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu dia bertanya, “Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah, aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau dan tidak seorang pun yang menyekutui aku dalam hal ini.”

Abul Hassan bertanya, “Bagaimana hal yang merisaukanmu?”

Wanita itu menjawab, “Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban dan ketika itu aku bersama dengan dua orang daripada anak-anakku. Yang seorang sudah boleh bermain dan yang seorang lagi masih menyusu. Ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang besar berkata kepada adiknya, “Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?”

Jawab adiknya, “Baiklah kalau begitu?”

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihlah leher adiknya itu. Kemudian dia berasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana dia sana dia dibaham oleh serigala. Kemudian suamiku pergi mencari anak kami itu sehingga mati kehausan dan ketika aku meletakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk itu dan tumpahlah air panas terkena ke badannya sehingga habis melecur kulit badannya. Berita ini telah terdengar oleh anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, dia jatuh pengsan hingga menemui ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua.

Lalu Abul Hassan bertanya, “Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?”

Wanita itu menjawab, “Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan dia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu yang terbaik dan terpuji akibatnya. Dan adapun yang mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka.”

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan teladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam seiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah S.A.W bersabda dalam firman Allah sebuah hadith Qudsi:

“Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya.”

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama. Kerana itu Rasulullah S.A.W bersabda,

"Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebalum taubat, maka Allah akan memotongnya dari pakaian wap api neraka.” (Riwayat oleh Imam Majah)

SEMOGA KITA DIJADIKAN SEBAGAI HAMBA TUHAN YANG SABAR DALAM MENGHADAPI SEGALA MUSIBAH.


No comments: