I’tidal adalah merupakan bekalan yang sangat penting bagi seseorang muslim yang terlibat secara langsung dalam medan da’wah Islamiyyah. Sebahagian daripada barisan ‘Amiliin (mereka yang berjuang untuk agama) tidak begitu memahami prinsip I'tidal lantas mengundang salah faham dan mengeruhkann kejernihan Ukhuwwah Islamiyyah yang merupakan asas utama di dalam penjanaan dan pengembelingan tenaga bagi perjuangan da’wah.
Di dalam penulisan kali ini , kita cuba mengkaji dan meneliti prinsip yang telah diadaptasikan oleh “Al-Ikhwan Al-Muslimun”di dalam perjuangan mereka. Al-Imam Hassan Al-Banna telah menekankan konsep “ I'tidal “di dalam pentarbiyahan bagi meletakkan Al-Ikhwan di atas jalan yang sederhana, di antara Al-Ikhwan dengan jama’ah-jama’ah Islam yang lain. Beliau tidak pernah membenarkan dirinya terlibat di dalam konflik “ Peperangan Mazhab”, bahkan mengambil langkah pertengahan iaitu tidak menerimanya dengan mutlak sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah individu yang lain. Beliau juga tidak menyatakan pendirian bahawa wajib ber’Taqlid’ ke atas mazhab dan tidak pula melarang sesiapa yang mahu melakukannya tetapi mengharuskan perkara tersebut dengan bersyarat di mana ia menjurus ke arah “I'tidal” sepertimana yang termuat di dalam komentarnya di dalam Usul yang ke-7 daripada Usul 20.: “Sewajarnya bagi tiap-tiap muslim yang tidak sampai ke peringkat “an-Nazar” (berkemampuan mantarjih dan berijtihad) mengikuti Imam mazhab di samping berusaha mengetahui akan dalil-dalil yang dihujjahkan oleh Imamnya, dan dia perlu menerima sesuatu perkara dengan adanya dalil. Sekiranya dia adalah ahli ilmu, maka sewajarnya dia melengkapkan ruang kosong ilmunya sehinggalah mampu mancapai tahap “An-Nazar”…”At-Tarbiyyah Al-Islamiyyah Wa Madrasah Hassan Al-Banna, Dr.Yusof Al-Qaradawi,ms:78-79.
Ini tidak bermaksud bahawa apa yang dikatakan oleh Imam adalah benar dan diterima secara terus, sebaliknya kita perlu mengkaji kembali kerana ianya adalah merupakan ijtihad. Sekiranya tepat dan benar maka baginya 2 ganjaran dan sekiranya ia salah maka tetap baginya 1 ganjaran pahala. Maka tidak harus kita mengikutinya jika telah jelas salah sebagaiman yang telah dikatakan di dalam Usul yang ke-6 : “Setiap pandangan seseorang itu di ambil atau ditinggalkan kecuali perkataan nabi SAW. Setiap pandangan yang bertepatan dengan al-Kitab dan al-Sunnah yang didatangkan ulama’ salaf maka itulah yang kita terima dan sesungguhnya kitabullah dan sunnah rasul-Nya adalah ikutan yang paling utama.”opcit.Ms:79
Berbicara mengenai kepentingan berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah , Al-Imam Hassan Al-Banna telah menegaskannya di dalam “Risalah Mu’tamar yang ke -5” dengan katanya : “Al-Ikhwan berpendirian bahawasanya asas pendidikan dan pengajaran Islam ialah kitabullah dan sunnah Rasul-Nya. Sekiranya umat Islam berpegang teguh dengan keduanya, mereka tidak akan sesat selama-lamanya. Kita juga perlu memahami I'tidal Islam sebagaimana yang difahami oleh para Sahabah r.a. dan para tabi’iin di mana mereka ini adalah daripada golongan ‘al-salaf al-soleh’…”opcit.ms:79-80
“Al-I'tidal” di dalam Aqidah.
Di dalam permasalahan aqidah, maka pegangan dan pendirian yang perlu dipegang ialah sebagaimana pendirian yang dipegang oleh Ahlu al-Sunnah wa Al-Jama’ah kerana mereka berdiri di atas jalan pertengahan dan sederhana. Tidak sebagaimana yang difahami oleh beberapa kelompok umat Islam yang kadang-kadang mereka agak keterlaluan menggunakan ‘aqal’ yang disaluti falsafah untuk membicarakan persoalan aqidah islamiyyah. Dr.Yusof al-Qaradawi telah mengaskan perkara ini dengan katanya : “ Sesungguhnya “ruh tajdid” yang sebenar adalah bergantung kepada aqidah ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah dan mengikuti method al-salaf di dalam membicarakan ayat-ayat atau hadith-hadith yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah swt. Ianya juga adalah merupakan pegangan yang mampu merealisasikan tauhid yang benar di samping memerangi perkara syirik yang pelbagai samada syirik yang besar atau yang kecil, nyata atau tidak nyata . Ia Juga menolak dan mengingkari sebarang bentuk penyembahan dan perkara-perkara yang di ada-adakan yang tersebar luas di dalam kehidupan umat Islam. Perkara yang diadakan itu (bid’ah) telah merosakkan aqidah, ibadat, pemikiran, perasaan dan akhlaq orang-orang Islam sebagai contoh, upacara syirik di perkuburan, memohon hajat kepada wali-wali yang telah meninggal dunia, sihir dan perkara batil yang menyeleweng…”opcit,ms : 80
Mengikuti Sunnah dan memerangi Bid’ah
Pada zaman Al-Imam Hassan Al-Banna telah berlaku perkara-perkara bid’ah yang kebanyakannya dilakukan oleh kebanyakan pengikut Sufi seperti menziarahi kubur untuk mendapat berkat, bertawassul dengan mereka yang telah mati dan lain-lain lagi. Sehubungan itu Al-Imam Al-Syahid Hassan Al-Banna telah mengisytiharkan bahawa perkara-perkara ini perlu diperangi sebagaimana di dalam usul ke-20:” Setiap perkara bid’ah di dalam agama Allah yang tidak ada asal baginya (yang diada-adakan dengan mengikut hawa nafsu mereka samada menambah atau mengurangkannya) adalah “Dholalah” (sesat). Maka wajib memeranginya dan menghukuminya dengan cara yang terbaik agar tidak menatijahkan sesuatu yang lebih buruk daripada itu .”opcit , ms : 82.
Kewajipan memelihara persaudaraan Islam
Al-Imam Al-syahid Hassan al-Banna telah menceritakan bahawa pada suatu hari beliau telah melawati sebuah negeri di mana penduduknya telah berselisih pendapat dengan mengenai jumlah raka’at bagi solat Tarawih samada 8 atau 20 raka’at. Maka telah berlaku pertengkaran di antara mereka dan hampir-hampir mencetuskan pergaduhan. Mereka berhimpun di hadapannya dan bertanya kepadanya mengenai perkara itu. Beliau tidak menjawab persoalan tersebut tetapi sebaliknya bertanya kepada mereka mengenai solat Tarawih dengan katanya : “ Adakah ianya sunat atau fardhu ?”Mereka menjawab : “ Bahkan ianya adalah perkara Sunat.” Beliau bertanya lagi : “Persaudaraan sesama Islam dan kesatuan sesama mereka, ianya sunat atau fardhu ? “ Mereka menjawab : “ Bahkan ianya adalah perkara fardhu .” Kemudian beliau berkata dengan suara yang lantang :” Kenapakah kalian memusnahkan perkara fardhu ini hanya semata-mata perkara yang sunat ? Maka sebaik-baiknya kalian solat tarawih bersama-sama di masjid dan sama-sama memelihara hubungan Ukhuwwah sebagai ganti kepada pertengkaran ini.”
Kesimpulannya, ”Al-I'tidal “adalah merupakan prinsip yang akan dapat membantu seseorang ‘amil al-deen untuk melaksanakan tugasan da’wah dengan lebih sempurna dan berkesan.
(karya dipetik)
No comments:
Post a Comment