Thursday, March 02, 2006


MEMILIH PASANGAN
Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk meminang dan berkahwin.

Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan dan maksiat.
Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka, tidak membawa kepada pernikahan.
Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas.
Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada orang yang suka membujang sampai ke tua.Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak. Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk meniti alam berumahtangga.

Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup.Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
“Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik.”
Baginda bersabda lagi yang maksudnya:

“Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya.”

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia,kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.

Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya antaranya ialah:

1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.
2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak,mengurus rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.
3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.
4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.
5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami,melayan suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami.
Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan yang kuat agama, anak cucu orang alim dan soleh. Seseorang wanita yang kuat agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti tinggi.

Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah keistimewaan dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita solehah bererti dia telah mendapat satu nikmat Allah yang besar.

Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas r.a:
“Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak menzalimi suaminya.”

Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga yang soleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian daripada sifat-sifatnya oleh Rasulullah saw:
“Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya.”

Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang suami jika ia memiliki isteri yang solehah.
Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada keluarga terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan mngukuhkan persaudaraan Islam.
Risiko dari perkahwinan sanak saudara akan melahirkan anak-anak yang tidak sihat dan lembab otak. Tujuan digalak berkahwin dengan orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat melahirkan anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
“janganlah kamu nikahi wanita-wanita kerabat terdekat,maka sesungguhnya anak yang bakal lahir nanti berakhlak lemah fikiran dan akal.”

Rasulullah saw menyatakan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri berbanding dengan janda.Rasulullah saw bersabda:
“Kahwinlah para gadis kerana sesungguhnya, mereka itu menarik tutur bahasanya, bersih rahimnya (mampu berzuriat), kurang dalihnya dan mudah meredhai kerjanya.”
Rasulullah saw menekankan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri kerana setiap perkahwinan berkehendakkan sesuatu hasil penguniaan anak yang soleh dan solehah.

Untuk melaksanakan tugas yang mulia ini maka perlulah seorang lelaki itu mengkaji secara terperinci terlebih dahulu bakal isterinya agar dapat melahirkan anak dan tidak ada sebarang keuzuran yang boleh menghalangnya dari mengandung dan bersalin.
Bagi mengetahui sifat-sifat kesanggupan gadis itu,pada umumnya boleh dijadikan ibunya sebagai perbandingan. Seandainya ibunya mempunyai ramai anak,pada kebiasaannya gadis itu pun akan mewarisi ibunya,tetapi tidak semua tanggapan ini benar, kadang-kadang mengikut baka dirinya pula.

Apabila ramai zuriat, semakin kukuhlah ummah dan teruslah tertegaknya daulah Islamiah. Membiak zuriat bertambah seri, erat dan bahagianya sebuah rumahtangga di mana wujud ketenangan jiwa hasil kasih saying antara kedua suami isteri. Rasulullah saw, begitu kuat menekankan supaya setiap lelaki memilih calun isterinya yang ramai anak, sebagaimana sabda baginda:

“Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti.”
Begitulah penekanan Rasulullah saw ke atas umatnya,baginda bangga dengan umat yang ramai kerana disitulah letaknya kekuatan agama Islam.
Diharamkan seseorang lelaki memilih seseorang wanita yang telah dipinang saudaranya, kerana bererti ia menyerang hak dan menyakiti hati peminang pertama,memecah belah hubungan kekeluargaan dan mengganggu ketenteraman.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
“Orang mukmin satu dengan lainnya bersaudara, tidak boleh ia membeli barang yang sedang dibeli saudaranya,dan meminang pinangan saudaranya sebelum ia tinggalkan.”
Islam juga mengutamakan wanita yang masih gadis untuk dipadankan dengan lelaki yang muda belia, sebab itulah disunatkan memilih gadis.
Walau bagaimana, terdapat pula keadaan tertentu apabila janda pula menjadi yang utama. Misalnya, untuk menyelesaikan masalah perlindungan kepada janda dan anak-anak.

Islam turut menghormati taraf kedudukan seseorang,sebab itulah pemilihan pasangan hidup hendaklah juga mengambil kira taraf atau sekufu. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina juga atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina juga ataupun lelaki yang musyrik. Yang demikian itu haram terhadap orang yang beriman.”
“Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat adalah untuk wanita-wanita yang jahat, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.”

Ayat di atas patut menjadi iktibar, terutama kepada para lelaki dan wanita yang ingin berkahwin. Kepada yang sudah berumahtangga, ambillah iktibar ini dan muhasabah kepada diri kita kembali apabila menghadapi masalah dalam rumahtangga dan mengapa Allah swt pertemukan jodoh kita dengan pasangan kita sekarang.
Dr. Ikmal dari Jemaah Islah Malaysia(dipetik dr email yg dikirim oleh sahabat)

Wednesday, December 07, 2005

~Sa'adah Hakiki~

dipermukaan bumi ini
bumi penuh sa'adah dan barakah
jiwaku tersentak seketika merenung
alangkah agungnya Rahmat Allah
menempatkan aku di arena perlumbaan ini

dibumi inilah
baru ku mengenali apakah itu
biah solehah tuntutan ar-Rahman dalam dustur-Nya
ikhtilat segera diasingkan
walau hati kecil memberontak menentang
perubahan mengejut atau islamic shock

kupimpin hati ini setapak demi setapak
untukku sebatikan dengan kehendak nurani
memahami satu persatu tuntutan Ilahi
melalui usrah wahana penggerak
setiap isinya kusaring penuh ketaqwaan

dahulunya hijab keayuanku di paras dada
kugagahi kehendak jiwaku
semakin lama ia ku labuhkan
sehingga jelas menampakkan keayuan yang asli
pakaian yang terang kuganti jubah
bisa menutup nafsu ajnabi

di bumi inilah baru ku mengerti
hijrah yang disabdakan junjungan mulia
Ya Allah bimbinglah aku ke shirot-Mu
ikhbatkan hatiku
melawan semua cubaan dan halangan
akanku istiqamah atas perubahan ini
berkat hidayahMu pada hamba-Mu ini...

Mohaz98
(An-Nur-Biro Penerbitan HELWI PMAIUM NP SESI 1998/1999)

Sunday, July 31, 2005

Berikan daku sedutan nafas untukku hirup ilmu-MU
ilmu itu ibarat sedutan nafas
dengannya kita hidup
dengannya kita berjalan
dengannya kita melihat
dan dengannya kita beribadat

ilmu itu didatangi
dan bukan mendatangi
kadangkala pada terik mentari
kadangkala pada dinginnya malam
kadangkala pada lautan yang luas
kadangkala pada langit nan biru
bahkan pada saujana mata memandang

ilmu itu daku cari
biar jerih biar perih
untukku isi penuh-penuh
dalam telaga aqli
agar dahaga tidak keterlaluan
yang bisa membutakan mata
bahkan membutakan hati
lalu jalan yang lurus itu daku mungkiri

pastinya dahaga akan terus dahaga
pada ilmu milik Yang Maha Esa
kerana dada yang kontang
akan terus-terusan dahaga
dan pada jiwa-jiwa nan gersang
biarlah digenang ilmu-Nya
agar bercambah cinta pada-Nya
menghiasi taman hati...
yang mahu tenang!

(lalu berikanlah daku beberapa lagi sedutan nafas untukku hirup ilmu-MU)

28 Julai 2005

Monday, July 04, 2005

~dunia hari ini ~
yang ku lihat hanyalah ilusi
punya pelakon yang sama
yakni insan bernama manusia
punya pentas yang sama
yakni bumi bernama dunia
punya jalan cerita yang sama
yakni kisah yang panjang
punya rasa yang masih sama
adunan hedonisme
acuan hawa nafsu
diuli belai manja syaitan durjana
lalu penonton tetap sama
yakni diri insan bernama manusia

pada mataku
dunia ini masih indah
hanya indah itu dilitupi kabus
kabus-kabus kejahilan
pada manusia-manusia rakus
walhal manusia itu mampu
mampu pada anugerah yg diberi-Nya
mentadbir berpaksi wahyu Allah
ditemani cahaya Quranul karim
ditafsir pada jejak langkah as sunnah
hadiah berharga kekasih Allah

pada mataku
terbayang riak-riak bahagia
yang abadi lagi haqiqi
andai ada keberanian ulama
andai ada kejujuran umara
andai ada soleh dan solehah
pada kepatuhan yang teguh
pada ketaatan yang murni
yang tidak berbelah bahagi
yang tidak bersimpang siur
hanya kepada-Nya
hidup dan mati
hanya pada-Nya
datang dan kembali

4 Julai 2005
setapak, KL

Saturday, June 18, 2005

Hiduplah Hati~

hiduplah hati
demi cinta pada Ilahi
hiduplah hati..jangan kau mati
yang cinta pada mahligai-mahligai impi
namun terlupa pada lubang-lubang nan se'inci'

hiduplah hati ..jangan kau mati
yang tekun berbuat ibadat
namun masih ligat dengan maksiat
hiduplah hati..jangan kau mati
yang selalu cinta pada harta benda
namun lupa kepada hisab

hiduplah hati..jangan kau mati
yang cinta pada manusia
namun terlupa pada Pencipta manusia
hiduplah hati..jangan kau mati
yang cinta pada duniawi
namun terlupa pada ukhrawi
yang kekal abadi
hiduplah hati..jangan kau mati
yang cinta pada kehidupan
namun selalu terlupa pada kematian
yang pasti

hidup..hiduplah hati
pada alunan gema zikrullah
pada jejari tasbih, tahmid dan takbir
pada bait-bait kalamullah
lunak penuh taddabur
tenggelam dalam tafakur

hidup...hiduplah hati
lihat dengan mata hati
panduan aqli
kelak terpancar nur Ilahi
pada ciptaan-ciptaan teragung
yang sekali-kali tak mampu kau perbuat

hidup..hiduplah hati
kontang dada biar ter'isi
lembah kejahilan disinari
cahaya ad-deen yang menerangi
lembah-lembah nan gelap di dalam hati

lalu hiduplah hati
pada malam-malam nan gelap
pada jiwa-jiwa nan kerdil
namun tetap mengharap
mencari tenang pada telapak Ilahi
mencari salah dalam mujahadah diri
mencari redho pada kasih Ilahi
menadah tangan memohon keampunan
"Wahai Allah , gembirakanlah kami dengan redhoMu"

-al_muttaqin-

Wednesday, June 01, 2005

~al-Mustofa~

salam ke atasmu wahai sebaik-baik nabi
Muhammad al-Mustofa
manusia mulia berperibadi agung
tak pernahku tatap wajahnya
namun rinduku padanya tetap menggunung

tak pernah kau bersikap keras
tak pernah kau balas kejahatan dengan kejahatan
tapi kau balas dengan maaf dan doa ampunan
Allah tidak mewafatkanmu
melainkan setelah tertegaknya
La ilaha illa Allah

pastinya tidak
hingga Allah buka mata-mata yang buta
tidak hingga didengar oleh telinga-telinga yang tuli
dan tidak hingga terbuka hati-hati yang terkunci
bersifat maksum namun tiada angkuh
jaminan syurga namun kau tetap bersyukur

al-Mustofa
kau selalu tersenyum
akhlak mulia jadi sanjungan
wahai al-Amin
yang boleh daku percayai
telah dihiasi-Nya segala kecantikkan pada akhlaqmu
ketenangan itu pakaianmu
kebaikan itu syiarmu
taqwa sebagai hatimu
hikmah berada pada dalam setiap tuturmu
siddiq itu sifatmu
janji dipegang amanah kau julang..

akhlaqmu terpamer dalam kebaikan
keadilan itu kau perjuang di seluruh jalan hidupmu
kau tegakkan kebenaran demi syariat Tuhanmu
petunjukNya pelengkap imanmu
Islam itu membayangi tiap langkahmu
salam ke atasmu wahai sebaik-baik nabi
Muhammad al-Mustofa

tiada lain melainkan Allah
mengangkat dirimu menjadi kekasih-Nya
lalu memberimu petunjuk selepas kau kegelapan
mengajarmu selepas kau dalam kejahilan
memasyurkanmu selepas tidak dikenali
meninggikan darjatmu selepas tidak dipeduli
memperbanyakkan pengikutmu selepas bilangan mereka sedikit
menjadikan kau kaya sesudah miskin
bahkan Allah jualah yang telah menyatukan hati-hati mereka
di bawah panji-panjimu
selepas mereka berpecah-belah
mempertautkan hati mereka yang bercerai-berai
kepada satu jamaah
satu ummah
ummah terbaik
yang selalu memuji Allah

lalu ummah itu
antaranya adalah aku
terlalu rindu untuk bertemu
syafaatmu jadi dambaan
sirah hidupmu jadi teladan
keinginan bertemu tiada tertahan
pada dirimu yang tak pernah ku tatap
pada suaramu yang tak pernah ku dengar
lalu ucapan selawat dan salam ku kirimkan
sunnahmu jadi amalan
selagi terdaya kan ku perjuangkan
tanda cinta seorang umat

lalu ku bisik ke dalam hati
akan ku suburkan rasa cinta ini
pada benih-benih zuriat
yang akan kulahirkan nanti
agar mereka tahu siapa khatimun nabi
tiada manusia setandingnya
paling berjasa
buat manusia dan alam seluruhnya
salam ke atasmu wahai sebaik-baik nabi..

-al-muttaqin-
23 mei 2005
2pm

Monday, May 02, 2005

~Cinta Teragung~

Taman hatiku sekian lama
Gelap dan sunyi tanpa bicara
Menanti hadir sang rajuna
Memanah cinta ke dalam jiwa

Telah kuredah belantara fana
Membawa hati merah membara
Mencari cinta luhur mulia
Untuk hati yang lama terpelihara

Fatamorgana menawan sukma
Tanpa sedar diri terlena
Luka di dada tak terubat
Lalu tersungkur di perbatasan

Air mata berguguran
Luka pun mula berdarah hebat
Hati yang rapuh remuk berkecai
Diri terdampar keseorangan

Tersedar diri dari lamunan
Kalimah suci menyentuh jiwa
Nurani mula bercahaya
Hati mula bersemi cinta

Telah lama ku mencari
Cinta teragung luhur haqiqi
Baru kini ku temui
Cinta teragung nan sejati

Cintaku pada ILAHI
Tak dapat ku bendung lagi
Rela daku menempah mati
Demi cinta suciku pada ILAHI

Andai itu syarat dalam bercinta
Tidak ku peduli terkorban nyawa
Kerana hati telah punya rasa
Rasa cinta pada PENCIPTA

Wahai sahabat wahai teman
Berjuanglah mencari cinta
Korbankanlah jiwa demi cinta-NYA
Cinta teragung yang haqiqi
Dunia akhirat kekal abadi
Hanya pada-NYA
Selamanya....cintaku bersemi!

Salam Isra Mikraj buat semua..



-al-muttaqin-